Kamis, 20 Mei 2010

semangat 45



may 21, 2010

MEMUPUK SEMANGAT PATRIOTISME

Dalam kemeriahan kita membuat persediaan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-50 tahun, kita dikejutkan dengan tindakan pelajar kita di Taiwan yang mengubah lagu kebangsaan Negaraku kepada Negarakuku dengan rentak rap dan kandungan mesej yang menghina orang Melayu,Islam dan polis dalam klip video muziknya yang disebarkan menerusi internet. Tindakan pelajar itu menunjukkan betapa lemahnya semangat patriotisme dalam jiwa pelajar tersebut kerana lagu Negaraku amat suci dan lambang ketaatan kepada negara dan sudah tentunya tidak boleh dipermain-mainkan.Tindakannya juga telah mencalar semangat perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini lantaran menyentuh isu sensitiviti kaum.
Tidak lama selepas sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 2007, seakan tidak percaya bahawa wujud warga Malaysia yang sanggup membakar Jalur Gemilang , bendera negaranya sendiri. Mungkin terpengaruh dengan tindakan warga asing yang membakar bendera dalam berita-berita luar negara yang dipaparkan di kaca televisyen.Yang mereka lupa atau tidak sedar bahawa warga asing itu bukannya membakar bendera negara mereka sendiri tetapi bendera negara lain yang dianggapnya menindas rakyat negara tersebut, seperti tindakan rakyat Iraq yang membakar bendera Amerika Syarikat kerana benci dan marah dengan tindakan Amerika yang menguasai dan menindas rakyat Iraq.
Membakar Jalur Gemilang seumpama memperlihatkan kepada dunia betapa pudarnya semangat patriotisme dalam jiwa rakyat Malaysia dan betapa rendahnya maruah mereka sebagai warganegara Malaysia.Tindakan sama ada untuk menunjukkan emosi yang marah dan bantahan dan penentangan yang dilakukan ketika satu rusuhan di Kuala Terengganu bagaikan tindakan membinasakan diri sendiri ,bagaikan marahkan nyamuk, kelambu dibakar.Perbuatan ini sememangnya sukar diterima oleh rakyat Malaysia keseluruhannya sehinggakan isu ini menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat. Datuk Bung Mokhtar sendiri ternyata menyelar perbuatan yang dianggapnya sama seperti membakar negara ( Berita Harian, Rabu, 12 September 2007)
Bagi ahli sejarah Profesor Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim, generasi muda hari ini tidak menghargai nilai bendera negara.Menurutnya,kita mempunyai satu generasi yang tidak menghargai kedaulatan negara. (Berita Harian, Jumaat 24 Ogos 2007).
Banyak contoh yang menampakkan dengan jelas kelunturan semangat cintakan tanahair dalam kalangan generasi muda.Malah lebih menyedihkan apabila ada kalangan generasi muda yang malu berbahasa Melayu, apatah lagi memupuk rasa bangga sebagai anak Malaysia.(Rencana Pengarang,Utusan Malaysia,Isnin, 20 Ogos 2007)
Mohammad Noorizzuddin Nooh dalam artikel “Kukuhkan Patriotisme melalui Negaraku” menyatakan kebimbangan akan fenomena yang melanda masyarakat hari ini.Menurutnya, kita masih lagi sibuk memikirkan bagaimana untuk memperkasakan nama Negara di persada antarabangsa tetapi kita alpa bahawa kita sendiri tidak menghayati kewarganegaraan dan kemerdekaan itu sendiri.( Berita Harian, Isnin, 27 Ogos 2007).

Makna patriotime
Menurut Kamus Dewan, patriotisme bermakna perasaan cinta yang kuat tanah air. (Edisi Ketiga, 2002,hal. 987). Saifuddin Abdullah dalam artikel Perspektif: Pendidikan seiring patriotisme pula menjelaskan bahawa makna patriotisme tidak berubah, iaitu cinta yang kental dan kekal terhadap bangsa dan negara Malaysia. Tetapi, fokus atau bentuk patriotisme mungkin berubah mengikut masa dan keadaan. Jelasnya lagi,perkataan ‘patriotisme’ berasal daripada bahasa Greek, iaitu ‘patriotes’ yang bermakna rakan senegara dan ‘patrice’ yang bermakna tanah air atau negara. Ia membawa maksud keterikatan kepada kumpulan rakan senegara dan kepada tanah air. Dalam bahasa Arab, ia diwakili oleh perkataan wataniah.( http://www.belia.org.my)
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz pula menegaskan bahawa patriotisme yang sebenar ialah apabila seseorang itu sanggup memepertahankan negara apabila dicaci dan berasa bangga apabila negara mencipta kejayaan.Mereka tidaak ada semangat patriotime tidak akan berasa apa-apa terhadap sesuatu yang berlaku kepada negara. ( Utusan Malaysia,Isnin, 20 Ogos 2007).
Ukuran patriotisme cukup subjektif dan amat luas ertinya.Ia bukan isu sopitik atau gimik dan tidak sekadar semangat.Ia lebih bersifat spiritual, rasa kecintaan yang mendalam ,subur dan kental kepada negara yang turut dicirikan oleh beberapa nilai seperti kesungguhan, keyakinan, keberanian dan kesinambungan.Masyarakat patriotik adalah masyarakat yang anggotanya bertatakrama,bertatausila luhur, berupaya memaji, melindungi dan mematuhi serta memelihara undang-undang dan peraturan. ( Berita Harian, Khamis 23 Ogos 2007)

Mengapa Perlu Adanya Semangat Patriotisme Dalam Diri ?
Budayawan Negara, Azah Aziz menyatakan bahawa semangat cintakan negara perlu terus dipupuk dalam kalangan anak-anak muda supaya mereka tidak terus lupa jasa dan pengorbanan pejuang lama yang telah sanggup berkorban segala-galanya demi anak bangsa dan tanah air tercinta untuk kebahagiaan dan keselesaan mereka masa kini. Semangat tidak cintakan budaya sendiri dan tidak yakin dengan kemampuan bangsa menyebabkan mereka mudah terpesong dan mengagungkan budaya asing. Jika semangat patriotisme tidak dipupuk , lambat laun perasaan cintakan negara akan terus lenyap dan mereka suatu hari nanti akan hilang identiti dan sudah tidak tahu siapa sebenarnya diri mereka. (http://www.angelfire.com/)
Bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahadir Mohamad ketika berucap di Perhimpunan Patriotisme Alaf Baru anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) pernah menjelaskan bahawa pemupukan semangat patriotisme dalam kalangan generai muda amat perlu bagi menghadapi ancaman budaya luar.Sebagai pewaris negara ini, generasi muda juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang tinggi serta semangat patriotisme yang kukuh dalam menghadapi cabaran yang mendatang Pada alaf baru ini, amat merunsingkan kerana terdapat unsur-unsur tekanan daripada yang kuat terhadap yang lemah.Sehubungan itu, generasi muda perlu mempunyai semangat cinta kasih yang kekal dan kental kepada negara selain bersemangat setia pada negara.Semangat patriotisme juga meliputi semangat kekitaan dan rasa berbangga menjadi rakyat Malysia.
Menurut beliau lagi, semangat patriotisme amat penting untuk membangunkan negara supaya menjadi sebuah negara yang dihormati di dunia. Jika semangat patriotisme tidak dipupuk dalam kalangan generasi muda, negara tidak akan dapat dipertahankan dari serangan budaya luar.Konsep dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan pada alaf baru ini boleh menghakis identiti bangsa dan negara ini.Generasi muda harus sedar mengenai kesan negatif globalisasi dan tidak terus menerimanya secara bulat-bulat.Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk menangani daripada segala ancaman yang datang termasuk melalui teknologi maklumat (IT) melainkan dengan memupuk semangat patriotisme. (http://www.utusan.com.my).
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah menekankan bahawa betapa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat perlu terus diperkukuhkan bagi membolehkan negara mengisi kemerdekaan dengan mencipta lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa akan datang.(http://www.utusan.com.my).
Semangat patriotime jika tidak dipelihara oleh generasi kini, tidak mustahil akan menyebabkan negara dijajah lagi walaupun dalam kerangka yang berbeza.Unsur-unsur penjajahan itu semakin ketara ketika mana ada kalangan generasi muda bukan sahaja tidak pandai menghormati lagu kebangsaan malah begitu berani mempermainkan lagu Negaraku.(Utusan Malaysia, Isnin 20 Ogos 2007)

Bolehkah mencintai tanahair?
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria semasa mengendalikan Seminar Pemantapan Akidah di Masjid Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan tidak lama dulu pernah menyatakan bahawa.sesungguhnya tidaklah salah dan bukanlah kita berfahaman sekular jika kita mencintai bangsa dan tanahair kita sepertimana dakwaan sesetengah pihak. Nabi s.a.w. sendiri cintakan bangsa dan tanahairnya. Bahkan disebutkan oleh ulama kita bahawa:
"Cintakan tanahair itu termasuk daripada Iman."
Muhammad Nuruddin Bashah dalam tulisannya “Patriotisme Dan Islam” juga menyokong kata-kata Mufti Perak itu.Menurutnya, Rasulullah adalah contoh individu yang terlalu sayangkan kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabula meninggalkan kota tersebut semasa berhijrah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah ‘ Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur’.
Dr. Yusuf al Qardhawi juga ada menyebutkan bahawa: "Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi s.a.w. sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, baginda berkata kepada kota Mekah: "Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling Allah cintai, kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya." Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergenang air mata Rasulullah dan baginda bersabda: "Biarkanlah hati ini memperakuinya". (http://www.tajdid.com)
Jelaslah di sini bahwa semangat patriotime sebenarnya tidak bertentangan dengan Islam tetapi merupakan manifestasi kecintaan kepada negara atau wataniah yang sememangnya digalakkan oleh Islam.

Bagaimana memupuk semangat patriotisme?
Penulis bersetuju dengan pendapat Budayawan Negara iaitu Azah Aziz dalam memperkatakan tentang semangat patriotisme. Beliau menyatakan bahawa untuk mengembalikan semula jati diri generasi ini seharusnya semua pihak menggemblingkan tenaga memberi kesedaran kepada generasi muda ini supaya memupuk kembali rasa bangga kepada tanah air dan bangsa. Pihak tertentu seperti media, ibubapa, sekolah, pusat pengajian tinggi, persekitaran dan kerajaan harus bersama menggandakan usaha yang berterusan ke arah membentuk jati diri yang kental dalam kalangan generasi muda ini. (http://www.angelfire.com/).
Kerajaan sendiri melalui Kementerian Pelajaran dan institusi pendidikan mengatur pelbagai strategi dan menjalankan pelbagai program untuk mencapai matlamat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warga pendidikan khususnya dalam kalangan pelajar.



Peranan kerajaan
Kerajaan banyak mengemblengkan tenaga dalam usaha meneyemai dan memupuk semangat patriotisme dalam kalangan warganya. Salah satunya dengan penubuhan Biro Tatanegara. Visi Biro Tatanegara ialah menjadi pembina semangat patriotisme negara yang terkemuka dan utama.Yang mana, objektif utama Biro Tatanegara ialah mencipta semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia dengan memberikan keutamaan kepada golongan pelajar, cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat dengan hasrat mewujudkan satu negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah melalui rancangan latihan dan penyelidikan kemasyarakatan.PLKN adalah kemuncak langkah kerajaan dalam memupuk patriotisme dalam kalangan belia .Masih tidak semua peserta yang layak menyertainya dipilih untuk mengikutinya kerana program ini menelan belanja yang amat besar. Hal ini juga menyebabkan kita harus memikirkan program lain yang perlu diadakan bagi memupuk patriotisme dalam kalangan belia, terutama bagi mereka yang tidak terpilih menyertai PLKN. (http://www.belia.org.my)
Dalam pada itu, saranan yang baik daripada Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) merangkap Pengarah Institut Kajian Oksidental Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), harus juga diberi perhatian oleh kerajaan. Prof. Datuk Dr. Shamsul mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan (MSSKK).
Beliau menyatakan bahawa apa yang kita harapkan melalui patriotisme itu ialah kasih sayang kepada negara. Sama ada mereka sayang kepada negara atau tidak, itu satu perkara yang sukar dan tidak ada negara dalam dunia dapat mengukur nilai ini. Apa yang dapat kita lihat cuma penjelmaan kasih sayang ini. Penjelmaan menggunakan bahasa kebangsaan, menerima sistem yang boleh menyatupadukan, menggalakkan perbincangan lebih terbuka mengenai hal- hal ini, bukan hanya mengutamakan kepentingan masing-masing dan memikirkan tentang masa depan.
Penubuhan MSSKK penting bagi negara kerana ia akan membawa pemahaman lebih mendalam tentang makna perpaduan itu sendiri.Kerangka kita berbincang tentang perpaduan sebenarnya masih belum jelas. Hal ini dapat meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks sebenar.Dalam memperkatakan tentang perpaduan, masyarakat perlu melihatnya secara menyeluruh, bukan hanya selapis.
Menurut beliau lagi, telah sampai masa, kerajaan menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan (MSSKK) selain meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks yang sebenar. Buat masa ini, kita mungkin telah mempunyai wadah (wacana) tetapi wahananya masih tiada. Sebenarnya, ia adalah ‘tiang seri’ kepada perpaduan rakyat. (Mingguan Malaysia, Ahad, 26 Ogos 2007)

Peranan Institusi Pendidikan
Sebagai agen perubahan tentunya institusi pendidikan memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda dan generasi akan datang. Malah dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP) yang merupakan pelan pelaksanaan dan telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 16 Januari 2007,telah digariskan enam teras utama bagi menjayakan Misi Nasional dalam RMKe-9. Salah satu daripada enam teras strategik yang diberi tumpuan utama ialah teras Membina Negara Bangsa. Salah satu matlamat PIPP dalam Membina Negara Bangsa adalah untuk melahirkan pelajar yang memiliki semnagat patriotisme iaitu patriotik, selain memiliki jati diri, , bermoral, berpegang teguh kepada ajaran agama, penyayang, demokratik, liberal, berbudaya saintifik dan hidup bersatu padu.Lantaran itu , sekolah sebagai pelaksana misi Kementerian Pelajaran telah dan akan merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi menyokong dan mencapai matlamat PIPP.
Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk Membina Negara Bangsa, Kementerian Pelajaran dalam usahanya memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar telah mewajibkan agar sekolah menubuhkan Kelab Rukun Negara sebagai satu daripada aktiviti kokurikum. Semangat Rukun Negara perlu diteruskan. Kupasan prinsip Rukun Negara melalui aktiviti kokurikulum ini diharap dapat menerapkan semangat kenegaraan kalangan pelajar dan mewujudkan rakyat yang berjiwa patriotik serta cintakan negara.
Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan, yang merupakan lima prinsip penting yang terdapat dalam Rukunegara yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 selepas peristiwa 13 Mei 1969, tidak sepatutnya dilupakan oleh rakyat Malaysia. Di dalamnya terkandung semangat yang berupaya menerapkan nilai murni ke arah pemupukan perpaduan tanpa mengira usia atau latar belakang bangsa dan budaya.
Menyedari akan fenomena kurangnya semangat patriotime dalam kalangan generasi muda, Kementerian Pelajaran juga telah memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang telah diajar sebagai satu mata pelajaran persekolahan mulai tahun 2005, di sekolah rendah dan menengah. Pada masa dahulu, di sekolah rendah dan menengah, sivik pernah dijadikan satu mata pelajaran dari Tahun Empat hingga Tingkatan Lima. Tetapi, ia jarang diajar secara serius. Murid-murid juga tidak berminat. Lalu, sejak sekian lamanya, sivik tidak lagi dijadikan mata pelajaran. Pendidikan kewarganegaraan kemudian diserapkan dalam mata pelajaran sejarah. Asumsinya ialah bahawa memasukkan nilai kewarganegaraan ke dalam mata pelajaran sejarah akan dapat memenuhi kekosongan akibat tiadanya lagi pendidikan sivik.
Tetapi kini, mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi tumpuan pada keadaan semasa masyarakat serta keperluan masa depannya. Sivik merujuk kepada hubungan individu dengan masyarakat di sekelilingnya. Manakala kewarganegaraan merujuk kepada hubungan individu dengan negaranya. Guru membantu murid menguasai pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai sivik supaya menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
Berdasarkan keadaan semasa yang melanda golongan remaja, kurikulum mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan memberi tumpuan utama pada isu perpaduan, patriotisme dan pemahaman kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Melalui kurikulum ini diharap dapat melahirkan individu yang bersemangat patriotik, boleh bekerjasama dengan orang lain, mengapresiasi kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, menyelesaikan konflik tanpa menggunakan keganasan, menyayangi alam sekitar dan menyumbang ke arah pembangunan negara. ( Huraian Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan KBSR)
Selain itu, setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati Hari Ulangtahun Kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran Jalur Gemilang, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan.
Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara. (http://www.scribd.com/doc/261975/Pn-Zairiha)

Peranan media
Sejarah telah membuktikan bahawa media dan wartawan memainkan peranan penting sebagai alat penyebar dan pembakar semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu berminat untuk berpolotik dan menubuhkan parti politik. Parti UMNO sendiri diwujudkan adalah hasil daripada gerakan pena wartawan dan akhbar Utusan Melayu merupakan tulang belakang dalam gerakan ini.Hasil daripada perjuangan wartawan Melayu melalui akhbar-akhbar Utusan Melayu dan akhbar-akhbar lain yang ada pada ketika itu, maka orang Melayu berjaya disedarkan agar bangun menuntut supaya negara mereka dibebaskan dari belenggu penjajahan. Akhirnya kita berjaya mencapai kemerdekaan pada 1957.Hal ini bermakna peranan media dan wartawan di negara ini telah berjaya menjadi alat untuk menyedarkan orang Melayu agar menuntut kemerdekaan. (http://www.patriotisme.net.my/)
Justeru, media juga seharusnya menjalankan tanggungjawab sosialnya dalam mengembalikan generasi muda ini ke landasan yang betul.Media harus memainkan peranannya dalam menyemai dan memupuk semangat patriotisme dalam diri setiap warga Malaysia, terutama generasi muda.Media tidak seharusnya mendedahkan generasi muda dengan budaya negatif seperti yang dipaparkan dalam filem, drama, berita-berita sensasi dari barat tetapi harus menyediakan program-program sama ada dalam bentuk realiti tv atau rancangan-rancangan yang berunsur pengetahuan dan pendidikan yang dapat memupuk semangat patriotisme dalam jiwa generasi muda terutama kanak-kanak yang bakal mewarisi negara.
Tuntasnya, usaha menyemai dan memupuk semangat patriotisme adalah tanggungjawab semua pihak. Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab yang besar tetapi sokongan pihak luar juga tidak kurang pentingnya. Kita boleh menjadikan Singapura dan Jepun sebagai ‘role model’ dalam usaha murni kita ini. Kerajaan Jepun di bawah pimpinan Shinzo Abe telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan sekolah mengajar murid mereka untuk menjadi lebih patriotik ketika berhadapan dengan remaja mereka yang rata-rata tidak mempedulikan rentetan sejarah negara mereka.
Malaysia haruslah belajar daripada strategi dan amalan Singapura apabila berhadapan dengan masalah semangat patriotik, jati diri dan kekentalan jiwa rakyat mereka luntur.Singapura adalah contoh terbaik sebagai sebuah negara yang telah berjaya membentuk pemikiran rakyat mereka yang membolehkan setiap ancaman dan tohmahan ditepis dengan begitu mudah.Jati diri rakyat Singapura diasuh dengan begitu teliti dan bersitematik bukan hanya pada hari sambutan kemerdekaan tetapi juga melalui program sepanjang tahun bermula dari sekolah rendah hinggalah ke Khidmat Negara.(Azmi Hassan,“Jati Diri Tiada Musim”,Utusan Malaysia, Isnin, 20 Ogos 2007)
Kita juga harus mencontohi sikap patriotisme rakyat AS. Sikap patriotisme rakyat AS terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya sukar ditandingi oleh rakyat negara lain.Pada tarikh 4 Julai setiap tahun,rakyat AS dengan mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan tanpa dipaksa.
Sesungguhnya, tidak semua dari luar itu negatif. Kita perlu memilih dan memanfaatkan segala yang baik dan yang boleh diterima pakai meski daripada negara barat sekalipun.


RUJUKAN

1. Azmi Hassan , “Jati Diri Tiada Musim, Utusan Malaysia,Isnin, 20 Ogos 2007
2. Biro Tatanegara,http://www.btn.gov.my/
3. Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, “Agenda Misi Nasional dan semangat asabiah”, http://www.utusan.com.my
4. “Ganjaran Bukan Cara Serlah Patriotime Warga Malaysia”, Berita Harian, Jumaat 24 Ogos 2007
5. Huraian Sukatan Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan KBSR

6. http://www.scribd.com/doc/261975/Pn-Zairiha

7. “Jadikan Patriotisme Perisai Kita”, Rencana Pengarang,Utusan Malaysia,Isnin, 20 Ogos 2007
8. Kamus Dewan, Edisi Ketiga, 2002,hal. 987
9. “Lima Prinsip Rukun Negara Bangkitkan Semangat Kenegaraan” Berita Harian, 10 Disember 2005.
10. Mingguan Malaysia, Ahad, 26 Ogos 2007
11. Mohammad Noorizzuddin Nooh, “Kukuhkan Patriotisme melalui Negaraku”, Berita Harian, Isnin, 27 Ogos 2007.
12. Muhammad Nuruddin Bashah,Patriotisme Dan Islam, http://pmium.org/v100
13. “PM: Generasi Muda Perlu Pupuk Semangat Patriotisme”, Kongres Patriotisme Remaja di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), http://www.utusan.com.my/
14. “Patriotisme Bukan sekadar Kibar Bendera.” Berita Harian, Khamis 23 Ogos 2007
15. “Perjuangan Melayu Bukan Asabiyah”, Tajdid Ke Arah Kemajuan Dunia Dan Akhirat ,http://www.tajdid.com
16. Saifuddin Abdullah, ”Perspektif: Pendidikan Seiring Patriotisme”, http://www.belia.org.my
17. Yazid Othman, “ Peranan Dan Cabaran Wartawan Malaysia:Dalam Memupuk Semangat Patriotisme”, ( http://www.patriotisme.net.my/)
18. “YB Cadang Tarik Kerakyatan,” Berita Harian, Rabu, 12 September 2007

Tidak ada komentar:

Posting Komentar